create your own banner at mybannermaker.com!

Saturday, May 14, 2011

SMS HARI IBU..

Assalamualaikum dan selamat hari Ibu...

Baiklah, bersempena dengan hari ibu yang diraikan sepanjang minggu ini, maka saya mengambil kesempatan untuk mencoretkan beberapa perkara bersempena dengan tema entri pada kali ini. Umum sedia maklum bahawa hari ibu diraikan bagi mengenang jasa dan pengorbanan serta kasih sayang seorang ibu dan hari Ibu ini juga sebenarnya lebih meriah jika dibandingkan dengan Hari Bapa. Namun, diharap para bapa-bapa sekalian tidaklah berkecil hati kerana kita juga sedia maklum bahawa syurga itu di bawah tapak kaki Ibu. Huhu..
Sebenarnya, bukan perkara ni yang saya nak kongsi. Kisah ni tentang realiti kehidupan saya sendiri dengan mak saya. Sekadar perkongsian, saya merupakan satu-satunya anak daripada 4 orang adik-beradik yang tidak terlalu rapat dengan mak saya. Mingkin disebabkan semasa kecil saya dibesarkan oleh mak sedara dan atuk saya bermula daripada tadika sampailah darjah tiga. Saya tidak pernah menyalahkan mak saya apatah lagi membenci beliau. Namun, saya akui pada  ketika itu mak sedara sayalah yang menjadi ‘mak’ saya dan atuk sayalah yang menjadi ‘ayah’ saya. Saya faham, pada ketika itu mungkin mereka sibuk dengan komitmen masing-masing lantas meletakkan saya dibawah jagaan mak sedara saya.
Maka atas alasan inilah yang membuatkan saya kurang rapat dengan mak saya. Namun, agak menghairankan kerana saya tidak mengalami masalah dengan ayah saya (mungkin sebab ayah jarang marah kot..Huhu..) Saya tidak menolak kemungkinan bahawa perkara ini jugalah yang menyebabkan saya seolah-olah mempunyai dua identiti yang berbeza kerana ketika berada di rumah, saya merupakan seorang yang sangat pendiam akan tetapi saya merupakan salah seorang pelajar yang aktif di sekolah (bukan nak puji diri seindiri..Huhu..) Sehinggakan saya masih ingat antara bait kata-kata mak saya yang mengatakan bahawa saya seolah-olah orang bisu kerana saya lebih selesa untuk berdiam diri jika berada di rumah.
Baiklah, kita berbalik pula kepada tajuk entri minggu ni, “SMS HARI IBU” Sebenarnya, saya berasa terpanggil untuk menulis entri ini untuk berkongsi kepada pembaca sekiranya mereka pernah berhadapan dengan situasi yang saya alami tersebut bahkan saya percaya bahawa terdapat segelintir pembaca yang telah kehilangan ayah atau ibu mereka. Maka, atas kesempatan inilah saya ingin mengambil kesempatan bagi berkongsi pengalaman agar semuanya tidak terlambat.
Saya merupakan antara yang selalu lambat memberi ucapan kepada Ibu sempena Hari Ibu saban tahun. Namun, bukan atas dasar sengaja tapi atas alasan yang saya nyatakan diatas. Pada tahun ini, sepatutnya sayalah yang menghantar ucapan terawal namun saya berasa ‘takut’ untuk menghantar mesej berkenaan dan akhirnya ia tersimpan kemas dalam “outbox” telefon bombit  saya. Seperti sedia maklum, sehingga detik dan ketika ini saya masih lagi berasa segan dan tidak terlalu rapat dengan mak saya dan atas alasan inilah saya pilih untuk menjadi yang terakhir untuk menghantar mesej kepada mak saya. Namun, sebelum saya menghantar mesej tersebut, ayah saya kemudiannya menelefon dan bertanya berkenaan hal tersebut kerana hanya saya seorang sahaja yang belum memberi ucapan kepada mak saya. Kemudian, ayah saya telefon: “Cali, kenapa kamu belum sms mama lagi sebab abang dengan adikmu sudah sms mama”
Hmm, saya terus hantar mesej yang tersimpan hari tu. Kadang kala kita fikir kita sudah cukup matang dalam segenap perkara namun percayalah, tindak tanduk kita sebenarnya masih dibayangi tuntutan nafsu. Suatu ketika dulu saya boleh memarahi, membenci, bahkan meninggikan suara kepada ibu bapa. Namun, atas alasan ketidakmatangan sahajalah kita bertindak sedemikian rupa. Sekarang??.. semakin kita menjejak dewasa, semakin kita sedar akan erti pengorbanan seorang ibu. Mereka tidak akan marah tanpa sebarang sebab yang munasabah, meraka tidak akan memukul anda melainkan mereka ingin menegur dan menjadikan anda seorang anak yang berguna dan mendengar kata mereka.
Jika saya diberi pilihan, saya rela dipukul daripada tidak dipedulikan langsung. Janganlah kerana suatu perkara yang kecil, anda terus menghukum untuk menjauhkan diri dari Ibu bapa. Percayalah, semakin anda jauhkan hati dari mereka, nescaya semakin jauhlah rahmat anda dari-Nya. Atas kesempatan inilah, saya sangat berharap agar anda sentiasa mendoakan kebahagiaan ibu bapa anda dan sentiasalah bertanya khabar kepada mereka sekiranya anda berjauhan dari mereka. Percayalah, kerana sebaris ayat yang anda kirimkan melalui mesej juga mampu untuk menderaikan tangis mereka kerana kasih sayang ibu sangat tinggi nilainya disisi yang maha ESA.

2 comments:

  1. that's right. Hargai Ibu bapa selagi mereka masih ada :)

    ReplyDelete
  2. hpdanspesifikasi.blogspot.com hpdanspesifikasi.blogspot.com

    ReplyDelete